4/5/16

Anak Beruang Madu Bernasib Baik Dibeli Individu Prihatin

Bernama, 7 Ogos 2015

SANDAKAN, 7 Ogos (Bernama) — Seekor anak beruang madu berusia tiga bulan bernasib baik kerana dibeli seorang individu yang prihatin tentang nasibnya.

Haiwan itu, dibeli individu berkenaan di satu kawasan terpencil di daerah Paitan, sebelum menyerahkannya kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di sini.

Spesies haiwan dilindungi diberi nama Tan-Tan itu tiba di BSBCC di Sepilok semalam, menjadikannya beruang madu ke-44 yang diselamatkan dan ditempatkan di pusat itu.

Pengasas dan pegawai eksekutif BSBCC, Wong Siew Te berkata setelah membeli anak beruang madu itu daripada seorang penduduk kampung, individu berkenaan menghubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah, yang kemudian menyerahkan haiwan itu kepada BSBCC, yang ditubuhkan enam tahun lepas.

“Sekarang, kami mempunyai 35 beruang daripada sejumlah 44 yang kami terima sejak beberapa tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Wong berkata kos untuk menjaga seekor beruang madu adalah tinggi dan oleh itu beliau merayu kepada orang ramai supaya memberi sokongan kepada pusat itu dengan menghulurkan derma atau menjadikan beruang sebagai anak angkat mereka seperti yang dilakukan terhadap Tan-Tan .

— BERNAMA

No comments: