7/18/18

BSBCC Sepilok anjur program Pendidikan dan Kesedaran Hidupan Liar Sabah

6/7/2018

Utusan Borneo (Sabah) Online, 6th July 2018
By Salman Abadi

PROGRAM Pendidikan dan Kesedaran Konservasi Hidupan Liar Sabah (Siri 1) 2018 anjuran Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) Sepilok bersamasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Hutan-Kinabatangan Orangutan Conservation Programme (KOCP) berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Segaliud, Sandakan, Selasa lepas.

Picture

Pegawai Pendidikan Alam Sekitar BSBCC Risnayati Lammu yang juga ketua rombongan dan penyelaras program itu berkata, objektif program itu ialah berkongsi informasi atau maklumat mengenai hidupan liar yang terdapat di Sabah.

Katanya, ia juga bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan dan pendidikan serta memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan memulihara dan melindungi hidupan liar.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khasnya golongan pelajar untuk bersama-sama membantu melindungi hidupan liar agar tidak mengalami kepupusan demi generasi akan datang.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu termasuklah taklimat pendidikan dan kesedaran tentang konservasi hidupan liar, pertandingan mewarna topeng hidupan liar, menonton tayangan video, kuiz dan juga pameran berkaitan hidupan liar.

Risnayati menjelaskan BSBCC merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Dr Wong Siew Te pada tahun 2008 dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Land Empowerment Animals People (LEAP).

BSBCC berperanan memulihara beruang madu bekas haiwan peliharaan supaya boleh berdikari dan kembali hidup di habitat asal. Pada masa kini katanya, terdapat 43 ekor beruang madu yang berada di bawah jagaan BSBCC.

Beruang madu merupakan spesies beruang yang terkecil di dunia dan populasinya semakin berkurangan disebabkan oleh aktiviti pemburuan haram, eksploitasi bahagian tubuh, kehilangan tempat tinggal dan dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

“Oleh itu, salah satu matlamat utama BSBCC ialah memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya para pelajar mengenai kepentingan melindungi hidupan liar terutamanya beruang madu,” katanya.

Sempena program yang amat menarik dan julung kali diadakan di sekolah itu, pihak BSBCC menyampaikan beberapa taklimat iaitu pengenalan kepada hidupan liar di Sabah, pengenalan dan status perlindungan orang utan di Sabah serta pengenalan kepada harimau dahan dan juga beruang madu.

Selain taklimat sarat berinformasi yang disampaikan oleh Risnayati, aktiviti pameran hidupan liar yang diadakan dewan terbuka Datuk Shamsudin Yahya (mantan Adun Sekong) amat menarik perhatian pengunjung, khasnya dalam kalangan hampir 200 murid dan warga SK Segaliud, Sandakan.

Pelbagai rangka tulang haiwan hidupan liar yang tidak pernah dilihat sebelum ini dapat disaksikan sendiri melalui pameran itu.

Antaranya ialah rangka tengkorak dan tulang beruang madu, orang utan, gajah, penyu dan sebagainya. Turut dipamerkan ialah sampel makanan haiwan yang disimpan dalam balang kaca, pelbagai poster pendidikan dan kesedaran konservasi hidupan liar.

Risnayati berkata pihaknya menyasarkan untuk mengadakan program itu ke semua sekolah di Sabah secara berperingkat, tertakluk kepada keadaan masa dan kemampuan, namun sasaran awal buat masa ini ialah sekolahsekolah di sekitar daerah Sandakan.

Pihaknya telah mengadakan program serupa pada awal tahun ini dan pada Julai ini, pihaknya telah melaksanakan program pendidikan serta kesedaran konservasi hidupan liar itu di SMK Segaliud (2 Julai), SK Segaliud (3 Julai) dan SK Taman Rimba, Sandakan (4 Julai), manakala program di SK Gas, Sandakan (sepatutnya 5 Julai) terpaksa ditangguhkan kerana sekolah itu terlibat sebagai pusat penempatan sementara (PPS) mangsa kebakaran yang berlaku di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Berucap pada majlis penangguhan program itu, Guru Besar SK Segaliud Abd Rait Othman merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak BSBCC, JHL dan juga pihak Hutan-KOCP.

Katanya, pihak sekolah amat menghargai usaha murni pihak berkenaan dalam menjayakan program itu yang ternyata amat baik dan bermanfaat dalam konteks pendidikan serta pemupukan kesedaran tentang hidupan liar di Sabah.

“Pendidikan adalah universal boleh diadakan dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah,” katanya sambil menekankan bahawa pendidikan alam sekitar merujuk kepada pemuliharaan dan pemeliharaan fauna serta haiwan adalah menjurus kepada kehidupan lestari yang menjanjikan kehidupan lebih sempurna kepada generasi yang akan datang.

Menurutnya, sikap cintakan alam sekitar yang bersih dan menghargai hidupan liar mesti dipupuk seawal usia kanak-kanak di peringkat sekolah rendah lagi.
Beliau berharap agar program seumpamanya dapat diperluaskan dan terus diadakan pada masa akan datang kerana ia merupakan aspek pendidikan yang amat penting diberi pendedahan kepada masyarakat, khasnya para pelajar.

Abd Rait berkata, berdasarkan respon murid-murid dan warga sekolah, mereka ternyata sangat berminat dan pastinya mendapat banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu menerusi program itu.

Pihak sekolah turut berterima kasih kepada pihak BSBCC khasnya Risnayati dan seluruh ahli jawatankuasa (AJK) yang terlibat, sama ada di peringkat sekolah mahupun peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan yang sangat memberi kerjasama dan sentiasa menyokong apa juga program pembangunan pendidikan di sekolah.

Picture    Picture

Abd. Rait menyampaikan hadiah kepada para               Abd. Rait menerima cenderamata 
pemenang aktiviti hidupan liar.                                    daripada wakil BSBCC.

No comments: