8/6/2018
Harian Metro, 8th June 2018
by Avila Geraldine
DI sebalik ketegasan undang-undang hidupan liar, masih ramai individu tidak bertanggungjawab yang dikesan aktif menggunakan platform media sosial untuk menjual haiwan eksotik terancam sebagai binatang peliharaan di seluruh negara.
Lebih membimbangkan, Pusat Konversasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) turut mengenalpasti beberapa akaun Facebook dan Instagram yang dikenalpasti aktif menawarkan beruang madu, kucing civet, lotong, siamang, harimau dahan, burung pemangsa, burung enggang dan tapir.
Pengasas BSBCC yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Wong Siew Te berkata, pihak berkuasa berkaitan sedar berhubung perkara itu, namun seolah-olah tidak mengambil tindakan yang secukupnya.
Katanya, perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak tahun lalu, namun apa yang menyedihkan transaksi perniagaan membabitkan haiwan terancam itu masih berjalan seperti biasa.
"Jika ini berterusan, hidupan liar kita akan hilang tidak lama lagi. Terdapat banyak lagi populasi hidupan liar yang terkesan disebabkan kehilangan habitat sejak 50 tahun lalu.
"Baki populasi hidupan liar lain turut terancam akibat aktiviti pemburuan haram," katanya kepada NSTP.
Menurut ahli biologi itu, walaupun kebanyakan peniaga beroperasi menggunakan akaun peribadi secara tertutup, tetapi ada juga yang meletakkan identiti mereka dengan jelas dan akan memudahkan mereka dikesan dan dihubungi oleh pihak berkuasa.
Katanya, pihak berkuasa digesa memperketatkan usaha pemuliharaan hidupan liar itu memandangkan penjual dan pembeli hidupan liar haram kelihatan seperti
ANTARA haiwan eksotik yang diperdagangkan di sosial media. FOTO Ihsan Pusat Konversasi Beruang Madu Borneo (BSBCC)
tidak takut kepada undang-undang.
"Sudah tiba masanya untuk memperkukuhkan lagi usaha pemuliharaan hidupan liar. Urusniaga ini (hidupan liar) tidak boleh diteruskan seperti biasa. Kerajaan perlu melihat jenayah hidupan liar ini dengan lebih serius," katanya.
Sementara itu, Siew Te berkata, BSBCC menyambut Hari Beruang Madu, setiap 16 Mei untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan dan pemuliharaan haiwan itu.
Bagaimanapun katanya, penghujung Mei pula, beliau mengesan masih ada iklan yang menawarkan anak beruang madu dalam talian.
Beruang madu dilindungi sepenuhnya di Sabah dan Semenanjung. Ia juga spesies yang dilindungi di Sarawak.
Tegasnya hidupan liar memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan.
"Jika aktiviti sedemikian dibiarkan, hutan kita akan menjadi kosong tidak lama lagi," tambah beliau.
No comments:
Post a Comment